Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, January 26, 2014

Doa dan tawakkal…adalah motivasi sebenar seorang muslim

Umum mengetahui, kita mempunyai faktor pendorong dan penolak apabila kita mula untuk melakukan sesuatu. Andai faktor pendorong itu lebih kuat dan jitu, maka usaha tersebut dapat dilakukan dengan izin Allah tanpa banyak keresahan atau rungutan; namun andai faktor penolak itu lebih kuat, maka senang macamanapun sesuatu tugas pasti terabai dan terhenti sebelum bermula atau tidak akan berjaya.

Saya tidak mendapati satu motivasi yang lebih kuat selain dari kekuatan berdoa dan meletakkan sepenuhnya harapan pada Allah SWT moga yang dilakukan itu merupakan sesuatu yang bermanfaat penuh kebaikan. Andai berlaku halangan yang tidak terduga, pasti ada petunjuk yang dibentangkan Allah sama ada usaha tersebut perlu dikaji semula atau dilakukan dengan pendekatan yang lebih baik.

Apa yang utama, cara pendekatan dalam meneladani sesuatu tugasan atau tanggungjawab, fokus perlulah pada objektif yang hendak dicapai…BUKAN terus mengungkit masalah dan masalah…. Juga, andai tugasan itu dilakukan sekadar memenuhi tugas tanpa hubungan doa dan tawakkal dengan Allah, maka pengisiannya HAMPIR SELALU digantikan dengan kemarahan, kebencian, hasad serta riya' sesama insan..

Pencapaian juga mempunyai pelbagai indikator untuk diukur, dan bagi saya tidak ada indikator yang paling baik selain dari rasa syukur dan redha pada usaha menurut kadar kemampuan yang diizinkan Allah ..alhamdulillah.

Friday, January 24, 2014

Doa yang merupakan 'ibadah paling dekat di sisi Allah..

Rupa-rupanya kefahaman saya mengenai doa masih belum mendalam…banyak lagi yang saya baru pelajari dan sedari, dan kini masih dalam 'gear satu lagi untuk bergerak'. MasyaaAllah…alhamdulillah.

Dalam quran Allah berfirman maksudnya.."Dan Tuhanmu berfirman, "berdoalah padaKu, pasti Kukabulkan untuk kamu" (Surah Ghafir ayat 60). Allah menyuruh kita meminta apa sahaja. Dan setiap doa itu, pasti ditunaikanNya.

Doa merupakan ibadah agung apabila seorang hamba meletakkan sepenuh harapan kepadaNya, mengadu penuh harap dengan kerendahan hati.Merasakan penuh in-sight bahawa hebat bagaimana seorang manusia, kita sangat berharap dan bergantung kepada Allah SWT.

Kita perlu berdoa pada Allah dalam semua keadaan..baik senang mahupun susah. Kita juga perlu berdoa dalam setiap yang kita lakukan, moga setiap amalan itu membawa kebaikan dan pahala.

Merenung jauh…pada perjalanan kehidupan, saya nyata terpegun apabila mengingati satu demi satu permohonan doa saya dikabulkan Allah. Nyata topik yang dilontarkan oleh Syeikh Muhammad Shareef dalam Kursus online visionaire itu menjadi pencetus minda saya memikirkan himpunan anugerah Allah kepada saya yang tidak pernah saya syukuri secara mendalam selama ini… Allahuakbar..Ya Allah ampunilah dosa-dosa saya..

Wednesday, January 22, 2014

Berdoalah...dan teruslah berdoa...

Saya sempat berselisih dengan anak-anak pelajar yang saya kasihi..raut wajah mereka jelas menunjukkan penanda aras stress. Peperiksaan besar yang bakal mereka lalui, meskipun ada senyuman manis buat penawar keresahan yang semakin menebal.

"Dr...macamana dulu Dr. exam.."

Ingatan saya terus menggapai memori yang terus berbekas.

Baru semalam saya mengimbau segenap kenangan yang mana jika disenaraikan...subhanaAllah, begitu banyak doa-doa yang saya panjatkan kepada Allah SWT yang sehingga saat ini majoriti daripadanya Allah kabulkan.

Pada minggu peperiksaan akhir professional, saya mengalami gangguan emosi yang teruk. Sukar melelapkan mata serta paras indikator strees lampau yang sukar digambarkan. Fizikal saya begitu letih, minda yang sarat dengan hafalan dan hafalan fakta dan nota. Pada malam-malam terakhir sebelum exam saya menyerahkan sahaja kepada Allah SWT.

Sehinggalah pada malam sehari sebelum exam, seorang sahabat menceritakan beliau mendapat kes "cervical incompetence"...dan saya membuka nota mengenai tajuk itu sebelum cuba melelapkan mata pada malam tersebut. Dan.. subhanaAllah, itulah juga merupakan kes yang saya perolehi untuk peperiksaan keesokan harinya.

Terima kasih guru-guru saya yang telah mendidik saya..moga ganjaran yang tidak putus dari Allah SWT untuk anda semua..Aamin

Tuesday, January 21, 2014

Doa dan syukur...

Sesuatu doa merupakan manifestasi ibadah paling agung antara seorang hamba dengan Tuhan yang Maha Pencipta. Ia merupakan hubungan tanpa hijab yang menghubungkan makhluk dengan Tuhan Al Khallaq.

Sesuatu doa sentiasa dijawab dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT; pada waktu doa itu kita mohon kepada Allah, ia sudah sedia dikabulkan. Doa dikabulkan dalam tiga keadaan: dikabulkan doa pada waktunya atau lewat sedikit; atau doa tersebut digantikan dengan perlindungan Allah SWT dari mara bahaya atau doa itu disimpan untuk ganjaran yang tidak dapat dibayangkan kebaikan dan keindahannya di syurga kelak.

Untuk itu kita perlu sentiasa bersyukur atas apa jua yang Allah anugerahkan. Antara resepi bersyukur ialah:
1. Sentiasa positif tanpa mengeluh.
2. Bersyukur pada Allah SWT atas setiap apa yang Allah SWT anugerahkan.
3. Baik atau sebaliknya, perlu sentiasa bersyukur pada Allah SWT.
4. Bersykur pada Allah SWT membawa hati memfokuskan pada yang kita hajatkan; dan itu membawa kepada penambahan kebaikan..

Syukur merupakan manifestasi kerendahan hati seorang hamba memanjatkan pujian dan syukur kepada Allah SWT atas segala apa yang dikurniakanNya..mengakui bahawa betapa diri sebagai manusia tidak mampu melakukan sesuatu kebaikan tanpa pertolongan atau dibukakan Allah hati untuk melakukan kebaikan tersebut.

Wednesday, January 1, 2014

Kehidupan yang sepatutnya bukan untuk diri sendiri...

Saban waktu dalam solat yang kita hadiri, antara doa yang dibaca sebelum surah al Fatihah ialah deklarasi kita bahawa "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah taa'la". Dalam konteks ini, saya kadang-kadang terlupa tentangnya. Masih terpukau dengan lenggok dan gaya temporari mengenai kebahagiaan yang dikatakan menjadi buruan dalam kehidupan yang sementara ini.

Sejauh manakah hakikat sementara ini diharmonikan dalam kehidupan? Saya sekadar bertanya pada diri sendiri. Kesilapan dalam memilih tindakan atau juga terkadang memilih membuat dosa sesama insan, menjauhkan lagi jarak antara pengertian doa di atas dengan hakikat betapa sementaranya dunia yang sedang kita semua lalui ini.

Konteks kefahaman dan terjemahan inilah juga yang memberikan kita ruang ketenangan dalam memperbanyakkan amalan-amalan yang membawa kita kepada pahala dan juga redha dari Allah SWT. Tidak mengapa tatkala terpaksa melakukan yang tidak disukai, bekerja dengan manusia yang hebat berkira dan menguji, berhadapan dengan manusia yang kadang-kadang bukan seperti manusia atau juga menyelesaikan masalah yang kita sendiri tidak jelas apa yang sepatutnya hendak diselesaikan.

Kekuatan niat dan motivasi bahawa sesuatu yang dipilih untuk dilakukan merupakan sandaran tulin kepada tauhid kepada Allah SWT; bahawa hidup ini dimanfaatkan untukNya sahaja yang mana berkongsi kebaikan sesama insan juga merupakan komponen dalam membina taqwa. Saya yang baru menyedari bahawa hakikat itu merupakan sesuatu yang merubah persepsi kebiasaan serta emosi secara absolute dengan izin Allah SWT tatkala berhadapan dengan cabaran dan ujian...